13 July, 2008

Bentuk Eksploitasi Dan Manipulasi Kelas Sosial

Konsep kelas adalah merupakan satu kumpulan masyarakat yang besar yang terikat dalamnya bersama-sama satu perhubungan ekonomi yang tertentu di dalam satu bentuk cara pengeluaran. Setiap kelas mempunyai kuasa, status dan ganjaran yang berbeza-beza. Kumpulan kelas di sini merujuk kepada kelas sosial yang terdapat dalam sesebuah masyarakat. Perhubungan yang terjalin di antara kelas-kelas sosial adalah bersifat eksploitasi, penindasan dan juga mempergunakan. Kelas yang kuat akan mempunyai banyak kepentingan atau kelebihan ke atas kelas yang lemah. Di sini wujud dominasi kelas yang kuat terhadap yang lemah.

Perhubungan sosial dalam masyarakat atau negara ditentukan melalui sifat kelas dan ciri perjuangannya. Ciri perjuangan tersebut samada pada zaman feudal “golongan tuan tanah dengan hamba” atau pada zaman kapitalis “golongan pemodal dan buruh”. Teori kelas ini juga turut dikenali sebagai teori Marxis yang menganggap teori pluralis tentang persaingan kumpulan berkepentingan sebagai satu topeng yang menyembunyikan satu realiti yang membahagikan masyarakat kepada kelas-kelas yang bertentangan (Ghazali Mayudin 2006).

Sepanjang sejarah manusia, masyarakat keseluruhannya memiliki dan mengawal alat-alat pengeluaran. Golongan ini menindas golongan yang tidak memiliki alat pengeluaran. Oleh sebab itu, timbulnya konflik antara penindas dan yang ditindas. Mengikut Karl Marx (dalam Syed Ahmad Hussein 1994), sejarah manusia adalah sejarah manipulasi atau penindasan satu kelas ke kelas yang lain. Pertentangan ini dikenali sebagai “class struggle” atau pertentangan kelas. Pertentangan kelas sosial ini telah berlaku sejak zaman feudal lagi. Semasa zaman feudal golongan yang memiliki alat-alat pengeluaran yang utama iaitu tanah. Mereka juga dikenali sebagai tuan tanah. Manakala golongan yang ditindas terdiri daripada golongan rakyat biasa dan hamba. Golongan rakyat dan hamba dipaksa bekerja dan dibayar upah yang sekadar untuk meneruskan hidup. Manakala golongan pemilik tanah yang mendapat segala hasil daripada alat pengeluaran (tanah) yag diusahakan oleh rakyat biasa dan hamba.

Berdasarkan keadaan tersebut, telah berlaku eksploitasi dan penindasan terhadap satu ke kelas yang lain. Ketika di zaman pertengahan (midevil), pemikiran rakyat masih dalam kongkongan pihak gereja, golongan bangsawan dan raja. Hubungan yang wujud di antara mereka bersifat eksploitasi. Di zaman feudal, kajian yang dibuat oleh Gullick (1958), memperlihatkan betapa berkuasa raja yang memerintah iaitu ruler ke atas rakyat yang diperintah ruled. Manakala manipulasi atau eksploitasi di zaman kapitalis adalah diantara pemodal (bourjuis) dan pekerja (proletariat). Di sini wujud satu bentuk perhubungan yang bercirikan eksploitasi dan permusuhan di antara dua kelas yang berbeza. Pendekatan dan pertentangan kelas pada ketika itu dipengaruhi oleh Karl Marx yang mana hanya melihat masyarakat hanya terbahagi kepada dua kelas iaitu bourjis dan kelas proletariat. Menurut Syed Ahmad Hussein (1994: 134), zaman Karl Marx merupakan zaman kemuncak penindasan ekonomi kapitalisme dan penderitaan golongan pekerja. Karl Marx sendiri tidak mempunyai kerja dan pendapatan yang tetap. Hidupnya dalam kemiskinan, tiga daripada empat anaknya mati kerana kekurangan makanan dan ubat. Keadaan ini adalah faktor yang mempengaruhi perjuangan Karl Marx untuk membela golongan miskin dan tertindas yang terdiri daripada kelas pekerja. Oleh sebab itu, Karl Marx menumpukan tenaga inteleknya kepada soal ini.

Perkara yang sama kini berlaku di Malaysia apabila boleh dikatakan wujud dua bentuk kelas yang saling bertentangan kehendak dan sifatnya. Kelas yang pertama ialah kelas pemerintah “ elit” dan kelas kedua kelas yang diperintah “rakyat”. Tidak kiralah sama ada kelas yang diperintah itu menduduki kelas pertengahan, kelas bawahan, dan kelas professional, ia termasuk dalam kelas yang diperintah. Tindakan atau dasar kerajaan yang di ambil misalnya dengan menaikkan harga bahan bakar kepada suatu jumlah yang tidak munasabah dan menyebabkan golongan yang diperintah tertindas merupakan satu bentuk eksploitasi moden yang dilakukan oleh golongan pemerintah lantaran mempunyai kuasa dan mengawal sumber pengeluaran.


Kajian terhadap politik Malaysia lebih bersifat perkauman dan ras terutamanya dari perspektif percaturan kuasa di antara Melayu dengan bukan Melayu. Terdapat kritikan terhadap kajian yang berbentuk demikian adalah pendekatan berbentuk mudah atau linear sifatnya (tidak berubah). Hubungan Melayu dengan bukan Melayu perlu dillihat dari sudut pusingan atau bersifat dialektif. Hanya kajian dari pendekatan ini sahaja, maka hakikat politik Malaysia dapat difahami dengan lebih menyeluruh atau holistik. Pendekatan baru ini juga dikenali dengan pendekatan kelas.

Pendekatan kelas amat dipengaruhi oleh Karl Marx yang mana melihat masyarakat terbahagi kepada dua (pemodal dan pekerja). Hubungan diantara dua kelas tersebut bersifat eksploitasi dan permusuhan. Golongan pemodal mengeksploitasi golongan pekerja. Golongan pemodal adalah juga golongan yang kaya dan berkuasa. Hakikat ini juga berlaku dalam sejarah kehidupan manusia dari hingga sekarang. Di zaman feudal, kajian yang dibuat oleh Gullick (1958), memperlihatkan betapa berkuasanya raja yang memerintah (ruler) keatas rakyat yang diperintah (ruled). Hubungan ini adalah berbentuk eksploitasi dan memperalatkan. Kepatuhan rakyat kepada raja diperkukuhkan lagi dengan pelbagai bentuk perintah sanction yang bersifat jelas seperti hukuman yang dikenakan dan juga simbolik seperti dalam konsep daulat. Di peringkat daerah, hubungan yang sama juga wujud diantara pembesar dan juga pengikut. Begitu juga di peringkat kampung antara elit tempatan dan, tuan tanah dan petani. Hal ini bertepatan dengan apa yang diperkenalkan oleh Karl Marx (eksploitasi). Selain itu, kajian yang dibuat oleh Syed Hussain Ali ke atas masyarakat Melayu juga membenarkan hakikat ini.

Namun kajian yang menggunakan pendekatan kelas di kalangan masyarakat Cina dan India belum diusahakan dengan bentuk yang gigih di Malaysia. Kepatuhan rakyat terhadap raja dalam masyarakat feudal bukan semata-mata digerakkan oleh unsur yang bersifat eksploitasi umpamanya hukuman yang berbentuk fizikal tetapi kepatuhan rakyat juga digerakkan oleh nilai simbolis yang melihat raja memiliki kuasa ghaib atau laur biasa. Namun wujud juga pandangan hidup yang sebegitu (kepatuhan kepada raja) bukan sahaja berdasarkan oleh rasa takut tetapi juga perasaan hormat yang tinggi. Apa yang disebut oleh Max Weber sebagai sifat yang menghormati (deference).

Menurut Gramsci, menjelaskan betapa pentingnya ideologi pemerintah dalam menentukan sturuktur ekonomi yang bukan semata-mata dipaksa oleh rakyat tetapi diakui dan diterima (Ghazali Mayudin et.al 2006). Dalam membezakan sesuatu kelas, Max Weber mempunyai pandangan yang berbeza dengan Karl Marx. Menurut Max Weber yang membezakan sesuatu kelas dengan kelas yang lain bukan sahaja berdasarkan faktor material tetapi juga bukan material. Berpandukan kepada angkubah tersebut, Syed Hussain Ali mengkategorikan elit politik BN, dalam UMNO, MCA dan MIC sebagai tergolong dalam satu kelas yang sama dan tersendiri.

Namun Golongan elit inilah yang memerah dan menguasai segala hasil kekayaan Negara. Rakyat bawahan hanya menikmati segelintir kecil daripada hasil Negara yang berjumlah berbilion ringgit. Wujud satu jurang kelas yang dalam atau jauh di antara golongan elit pemerintah dengan rakyat bawahan tidak mengira sama ada melayu, cina dan india. Golongan elit pemerintah hanya turun mendekati rakyat apabila tibanya musim pilihanraya di mana nasib dan kedudukan mereka sebenarnya ditentukan oleh golongan kelas bawahan atau golongan yang diperintah. Namun ketidakmatangan golongan yang diperintah terutamanya yang berada di luar bandar menyebabkan elit Umno, Mic dan Mca terus berkuasa dengan menggunakan konsep permuafakatan. Padahal berdasarkan situasi politik semasa selepas pilihan raya umum ke 12, konsep permuafakatan yang digunapakai oleh para pengkaji tidak lagi relevan untuk dianalisis terhadap parti BN yang mana menyaksikan berlaku perpecahan dari segi pentadbiran sama ada dalam UMNO, MIC dan MCA. Teori permuafakatan mungkin relevan jika digunakan untuk menganalisis gabungan pakatan rakyat yang berjaya menawan lima buah negeri selepas pilihan raya umun ke 12 tahun 2008.

1 comment:

Just For Music said...

mbak/mas hehehe... blognya pasangi iklan biar dapat duit aku liat di search engine blog saudara lumayan teratas , ni link program bisnis yang menyediakan iklan dan kita dapat bayaran
www.kumpulblogger.com