18 March, 2008

TARBIAH JIWA

Apa yang hendak difokuskan di sini adalah Tarbiyah Jiwa manusia agar lebih baik dari sebelum ini, kalau pun sudah baik, ia akan diarah untuk menuju yang lebih baik, ia satu pendekatan kebaikan yang diterima di sisi Allah dan dinilainya sebagai benar-benar baik, kerana manusia hari ini, melihat sesuatu yang baik itu berdasarkan pandangannya semata-mata, kadang-kadang dilihatnya baik, tetapi bagi Allah ia bukan perkara baik.

Begitulah sebaliknya, kadang-kadang manusia melihatnya tidak baik, tetapi bagi Allah baik, sebagai contoh, ada seorang yang suka membantu orang lain, tetapi pada masa yang sama, dia mengingkari perintah Allah sebagai menafikan hukum hudud dan sebagainya, apakah Islam masih melihat orang seumpama ini sebagai orang baik, maka perlu kepada satu kayu pengukur untuk meletakkan amalan seseorang itu diterima di sisi Allah SWT.

Kaedah Tarbiyah Jiwa yang berkesan buat setiap Muslim :

1- Melakukan ibadat secara bersungguh-sungguh, menghubung diri kepada Allah serta menyerahkan diri kepada-Nya dengan rasa kerdil di hadapan-Nya, menerusi pelaksanaan amalan wajib dan meninggalkan egala larangan-Nya.

2- Memperbanyak dan membudayakan pembacaan al-Quran, merenung setiap susunan kata-katanya dan berfikir terhadap rahsia kejadian alam dan sebagainya.

3- Memperbanyak membaca dan mentelaah kitab-kitan agama berunsur nasihat, bimbingan, kaunseling lebih-lebih lagi yang memperkata masalah hati, penyakit dan rawatannya.

4- Rajin untuk hadir majlis-majlis ilmu, ceramah dan forum agama yang boleh membangkitkan kesedaran diri untuk melakukan taubat kepada Allah.

5- Mampu untuk menjaga waktu dengan baik dengan perkara-perkara yang berfaedah tanpa mensia-siakannya.

6- Mesti yakin pada diri untuk berhubung dengan Allah.

7- Bergaul dengan golongan yang baik-baik, terutamanya para ulama yang boleh menunjukkan jalan kebenaran, kesabaran dan sentiasa menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah dari melakukan perkara yang mungkar.

8- Beramal serta menterjemahkan segala ilmu yang diperolehi secara praktikal.

9- Bermuhasabah diri terhadap perkara yang telah dilakukan, sama ada ia baik di sisi Allah atau sebaliknya.

10- Menghina diri di hadapan Allah akan segala kesalahan, keterlanjuran sama ada berupa dosa kecil apatah lagi dosa besar dan bersegera untuk memohon keampunan daripada-Nya.

11- Mengelakkan diri dari bergaul dengan manusia yang mengajak kepada perkara yang melalaikan, malah berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kualiti amal ibadat kepada Allah SWT.

12- Bersabar terhadap karenah manusia tanpa jemu menyeru mereka untuk berpegang kepada Islam dalam apa jua keadaan, kerana ini adalah sebaik-baik tindakan yang perlu ada dalam setiap diri orang Islam.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita semua agar mampu melakukan apa yang disarankan seperti yang tersebut di atas, bagi menghadapi sisa-sisa hidup dalam melakukan perkara-perkara yang diredai oleh-Nya, Amin.

No comments: