10 September, 2008

Nasib Seorang Perantau






Ketika dalam perantauan, dia terlihat seorang wanita yang amat cantik. Untuk menarik dan mendapatkan perhatian wanita itu, pemuda itu bertekad untuk memenuhu apa jua kehendak. Apa jua yang diinginkan oleh wanita itu, pemuda itu tangkas mengisi keinginan.

Lalu berjayalah pemuda itu memikat wanita itu lantas bernikahlah kedua orang tersebut. Maka berhiburlah wanita itu dalam dakapan pemuda itu, berkubang dalam lumpur nafsu amarahnya. Namun pemuda itu tidak puas juga. Keinginannya untuk memenuhi setiap kehendak wanita itu yang kini isterinya tidak lentur malah semakin meningkat.

Hari berlalu menjadi minggu. Minggu ke bulan, bulan ke tahun hingga tidak sedar pemuda itu betapa usianya dimakan masa. Setelah sekian lama di perantauan, tersentaplah pemuda itu bila dia di panggil pulang. Maka pulanglah pemuda itu sebatang kara dengan tangan yang kosong seperti mana dia mula merantau begitu jugalah keadaanya bila pulang.

Sebatang kara dan tiada apa yang digendung buat bekalan apatah lagi buah tangan. Terpinga-pinga keseluruhan dirinya menggigil ketakutan sehingga tiada dapat berkata-kata dan air matanya bercurahan. Hanya lahir kesal yang amat sangat....

Begitulah keadaan kita yang pulang ke rahmat Allah(s.w.t) dengan tiada apa bekalan buat diri. Apa yang hendak dipersembahkan ke hadrat Ilahi?
Kebesaran Allah(s.w.t) tidak terjejas sedikit pun tanpa pemberian dari mahklukNYA. Hanya mahklukNYA yang rugi...

Rugi kerana perantau itu sibuk dengan kecantikan dunia. Keinginan dunia itu dipenuhi hingga lupa akan tujuan sebenar dia merantau. Taksub dia dengan dunia yang diibarat Allah(s.w.t) sebagaimana firmanNYA yang bermaksud,

”Dan ( ingatlah bahawa ) kehidupan dunia ini(meliputi segala kesenangan dan kemewahannya jika dinilai dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benar hidup; kalaulah mereka mengetahui( hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat ).”

Surah Al’ Ankabut (64)

No comments: