23 April, 2012

Hegemoni BN Dalam Pilihan Raya Malaysia


1.0 pendahuluan

Pilihan raya adalah satu cara untuk memilih wakil dan cara ampuh untuk membuat keputusan mengenai sesuatu dasar kerajaan. Pemilihan melalui pilihan raya juga menjadi suatu pilihan politik melalui undian yang dijalankan. Ia digunakan untuk memilih pemimpin dan menentukan sesuatu isu. Melalui pilihan raya pengundi boleh mengundi calon yang dikemukakan kepada mereka untuk menyelesaikan isu-isu masyarakat. Pilihan raya kini dalam era pendemokrasian gelombang ketiga menjadi satu elemen yang sangat penting kepada penubuhan sesebuah negara demokrasi. Namun ada juga negara-negara yang mengamalkan sistem pemerintahan yang bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi turut mengakui mereka adalah negara demokrasi hanya dengan mewujudkan sistem pilihanraya. Pilihan raya mempunyai beberapa fungsi yang penting. Fungsinya yang asas ialah menubuhkan sebuah kerajaan demokrasi. Pilihan raya juga berfungsi untuk menguatkan kestabilan dan legitimasi dalam satu organisasi atau komuniti politik. Pilihan raya memberikan legitimasi dan autoriti kepada orang yang diberikan kuasa atas nama rakyat. Dalam sistem pemerintah demokrasi, rakyat berhak untuk memilih pemimpin atau parti yang akan memerintah. Malahan hak tersebut adalah aspek penting dalam membezakan sistem demokrasi dengan sistem yang tidak demokrasi. Hal ini perlu dilaksanakan dalam proses yang dikenali sebagai pilihan raya. Oleh itu, pilihan raya adalah saluran peryertaan rakyat yang paling penting untuk rakyat membuat pilihan di kalangan calon dan parti yang bertanding untuk merebut jawatan politik dan menjalankan pemerintahan. Saluran ini juga penting kerana menunjukkan bagaimana pemimpin mendapat autoriti untuk memerintah. Menurut Mark Weaber, pemimpin mendapat kuasa melalui proses legal rasional adalah pemimpin mempunyai hak dan kuasa yang sah untuk memerintah. Dalam konteks hari ini, tidak ada negara yang akan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa sebagai negara yang mengamalkan demokrasi sekiranya tidak mengadakan pilihan raya. Maka pilihan raya yang dijalankan itu hendaklah BERSIH daripada segala penipuan.


2.0 HEGEMONI BN DALAM PILIHAN RAYA DI MALAYSIA
Hegemoni berasal dari perkataan Greek yang diambil dari perkataan hegemon yang bermaksud pemimpin atau penguasa dalam bahasa Greek. Definisi hegemoni pada asasnya bermaksud dominasi dan penguasaan satu kelompok di dalam masyarakat atau negara ke atas kelompok-kelompok yang lain. Hegemoni juga adalah sebagai sebuah kondisi proses yang memperlihatkan kelas dominan tidak hanya mengatur namun juga mengarah masyarakat melalui pemaksaan ‘kepimpinan’ moral dan intelektual. Hegemoni terjadi pada suatu masyarakat yang terdapat tingkat konsensus yang tinggi dengan ukuran stabilitas sosial yang besar. Kelas di bawah dengan aktif mendukung dan menerima nilai-nilai, idea, tujuan, dan makna budaya yang mengikat dan menyatukan mereka pada struktur kekuasaan yang ada. Apabila berlaku hegemoni, kelompok yang mendominasi berhasil mempengaruhi kelompok yang didominasi untuk menerima nilai-nilai moral, politik dan budaya dari kelompok dominan (the ruling party:kelompok yang berkuasa). Hegemoni diterima sebagai sesuatu yang wajar sehingga ideologi kelompok dominan dapat disebarkan dan dipraktikkan. Nilai-nilai dan ideologi hegemoni ini diperjuangkan dan dipertahankan oleh pihak dominan sehingga pihak yang didominasi tetap patuh dan taat terhadap kepimpinan kelompok berkuasa. Hegemoni juga dilihat sebagai strategi untuk mempertahankan kuasa dan status quo. Pilihanraya adalah sebagai salah satu elemen penting dalam sistem pemerintahan demokratik. Namun yang menjadi persoalan bagaimana sekiranya pilihanraya yang berlangsung dalam sesebuah negara telah dimonopoli oleh satu bentuk rejim sahaja. Bagaimanakan rupa bentuk sistem demokrasi yang terhasil serta pengaruhnya kepada budaya politik setempat. Dalam konteks Malaysia, berdasarkan sejarah pilihanraya umum, Malaysia mengadakan pilihanraya umum secara konsisten sejak 1959 sehingga pilihan raya umum yang ke dua belas pada tahun 2008. Walaupun berlaku tsunami politik atau kemunculan semula politik baru pada pilihan raya umum 2008, Barisan Nasional (sebelum tahun 1974 dikenali sebagai perikatan) masih lagi menguasai kerajaan pusat. Sebelum pilihan raya umum 2008, pada peringkat negeri pula, perikatan/Barisan Nasional memenangi semua negeri dalam setiap pilihanraya kecuali Kelantan (1959, 1990, 1995, 1999, dan 2004), Terengganu (1959 dan 1999), Pulau pinang (1969), dan Sabah (1985). Oleh itu, dalam pilihan raya pada peringkat pusat dan hampir semua negeri sebelum pilihan raya umum tahun 2008, kemenangan Barisan Nasional memang telah dijangka dan jangkaan itu sentiasa tepat. Malahan dalam setiap pilihan raya, matlamat utama parti pembangkang ialah menafikan majoriti dua pertiga dan bukannya merampas kuasa daripada Barisan Nasional. Walaubagaimana pun pada pilihan raya umum yang ke dua belas pada tahun 2008, matlamat parti pembangkang di Malaysia untuk menafikan majoriti dua pertiga menjadi kenyataan. Malahan, Barisan Nasional kehilangan kuasanya ke atas negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak. Kelantan yang sebelum ini dimomokkan akan ditawan juga tidak menjadi kenyataan Perkara ini sekaligus, menunjukkan hegemoni Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya di Malaysia sudah terhakis. Walaubagaimana pun, keupayaan Barisan Nasional untuk mengekalkan pengaruh dan kedudukannya selama ini adalah suatu perkara yang tidak dapat dipandang mudah. Antara pendekatan yang paling popular digunakan untuk mengetahui tingkahlaku mengundi adalah menggunakan pendekatan sosiologikal, pendekatan identifikasi parti, dan pendekatan pilihan rasional. Ketiga-tiga pendekatan ini mempunyai hubungkait yang rapat dengan bagaimana Barisan Nasional dapat mengekalkan atau semakin terhakis hegemoniknya dalam konteks pilihan raya di Malaysia. Namun,hegemoni BN boleh juga dianalisis berdasarkan faktor yang lain. Dalam konteks pilihanraya di Malaysia, kewujudan hegemoni BN adalah dalam bentuk total dan mutlak. BN bukan sahaja sebagai sebuah parti politik pemerintah tetapi juga sebagai satu kelompok masyarakat yang mendominasi dan menguasai kehidupan rakyat. Suasana hegemoni yang dibentuk oleh BN dari seluruh institusi-institusi yang berada di bawah penguasaan kompenen BN sama ada secara langsung telah menyebabkan BN berjaya menguasai pilihanraya sehingga kini. Antara elemen-elemen yang digunapakai oleh BN bagi mengekalkan hegemoniknya dalam pilihan raya sekaligus memastikan kelangsungannya pemerintahan adalah dengan menggunakan apparatus-apparatus negara seperti media, badan keselamatan, kawalan dasar (perundangan), dan ideologi populis.


 3.0 MEDIA MASSA
Media massa adalah antara alat sosiologi politik yang paling efisyen dalam mengkonstruksi pemikiran dan sosial lebih-lebih lagi apabila kerajaan berupaya memiliki dan mengawal media massa secara keseluruhan. Media massa di Malaysia telah menjadi satu alat yang cukup sinonim dengan pemerintah. Segala agenda, dasar dan kebaikan yang dilakukan oleh pihak pemerintah akan digunakan sebaik mungkin oleh media massa bagi menggambarkan betapa pihak kerajaan begitu dominan dan mempunyai hubungan langsung dengan golongan bawahan. Sebaran dan manipulasi isu secara langsung dan berterusan ini adalah untuk mengkonstruksi pemikiran golongan bawahan agar patuh dan taat kepada elit pemerintahan. Sepanjang perjalanan pilihan raya di Malaysia, media massa memainkan peranan yang cukup penting bagi mendapatkan sokongan rakyat kepada pemerintah. Segala bentuk berita dan sebaran akan ditapis supaya tidak meggambarkan kelemahan BN yang boleh menggugat kedudukan elit pemerintah. Manufacturing consent adalah sebuah istilah yang di berikan oleh seorang sarjana Amerika tentang bagaimana minda golongan massa atau rakyat dibentuk supaya berpandu ke arah satu aliran sahaja. Pemikiran yang di manufacturing juga berbentuk satu hala. Pemikiran sebegini sememangnya dikehendaki oleh golongan penguasa dan pemerintah yang ingin terus memerintah dengan menggula-gulakan rakyat. Perancangan yag rapi telah disusun sejak kanak-kanak di sekolah rendah dan juga tidak terlepas para pelajar di peringkat pengajian tinggi atau universiti. Masyarakat secara tidak sedar dipaksa untuk menerima dan mengiakan ia sahaja apa yang diterimanya. Media-media utama tidak menyampaikan maklumat secara telus. Mereka cuba mengawal pemikiran rakyat menurut acuan pemerintah dan rakyat tidak boleh berfikir jauh dari kerangka yang telah dibentuk. Media arus perdana memainkan perana yang cukup penting dalam manufacturing concent. (newpaper editors are men who sperate the wheat from chaff, and then print the chaff.) Apa yang hendak digambarkan di sini adalah dalam konteks media Malaysia bagaimana editor-editor media boleh diibaratkan sebagai orang yang bertanggungjawab memisahkan gandum daripada kulit, kemudiannya mencetak kulit untuk tatapan umum. Persoalan yang timbul di sini ialah bukannya orang tidak tahu tetapi orang yang sepatutnya tahu tidak dibenarkan tahu. Berita-berita dimanipulasi oleh editor-editor tertentu. Perkara pokok yang hendak dicapai adalah untuk mengkonstuksi pemikiran sekaligus mengukuhkan hegemoni secara halus. Sebagi contoh, media cetak boleh dikatakan agen sosialisai politik utama di Malaysia (akhbar aliran perdana) bukan sahaja dikawal oleh pemerintah tetapi juga dimiliki secara tidak langsung oleh parti-parti pemerintah. Akhbar-akhbar utama di Malaysia seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Strait Times, The Star, Nanyang Siang Pau, China Press, Tamil Nesan, dan Tamil Namban dimiliki oleh parti-parti pemerintah melalui syarikat pemegang amanah bagi parti-parti pemerinta. Peranan yang sama turut dimainkan oleh televisyen (media tonton) arus perdana di Malaysia. Secara umumnya, pemilikan dan kawalan ini oleh pemerintah dalam media massa tidak lain daripada bertujuan untuk kepentingan politik , iaitu sebagai alat sosialisasi politik dan salah satu cara untuk mengekalkan kedudukan hegemonik pemerintah .

  4.0 Kawalan Dasar/ Perundangan
Selain daripada mendapatkan kepatuhan melalui mengkonstuksi pemikiran, hegemonik BN juga adalah melalui kepatuhan fizikal dengan menggunakan apparatus pemerintah yang bersifat keras ‘paksaan’ seperti undang-undang dan institusi penguatkuasaanya. Undang-undang yang digubal misalnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta percetakan dan Penerbitan, dan Akta Universiti dan Kolej Universiti. Walaupun secara kasarnya akta-akta ini digubal atas dasar keselamatan negara, namun dari satu sudut yang lain, akta yang bersifat anti demokratik ini adalah untuk mengekang parti lawan atau pesaing-pesaing BN. Akta-akta yang digubal ini dari segi praktiknya digunakan untuk atas dasar keselamatan pemerintah, atau dengan lebih tepat lagi atas dasar pengekalan status quo pemerintah. Ini dapat dilihat dengan penangkapan ahli-ahli politik, ahli akademik, para pelajar serta penggantungan, kawalan dan pengharaman media massa yang menggunakan ruang awam untuk mengutarakan pandangan dan pendirian mereka dalam hal ehwal pemerintah. Penggubalan dan pengguatkuasaan akta-akta ini bukan sahaja secara realitifnya berjaya mengawal gerakan dan tingkahlaku politik massa secara umum, tetapi juga membentuk budaya takut ‘culture of fear’ di kalangan massa untuk bersifat kritikal terhadap pemerintah. Perkara ini secara tidak langsung dapat memberi kelebihan kepada BN terutamanya pada waktu pilihan raya yang di adakan. Golongan massa dengan unsur kepatuhan secara ‘fizikal’ memilih BN akibat daripada kawalan dasar yang di jalankan.


 5.0 Parti yang Dominan
Dalam sistem parti yang dominan, cuma terdapat satu parti sahaja yang sentiasa menang atau memenangi setiap pilihan raya yang dijalankan dan memerintah negara. Parti yang dominan pada kebiasaanya mendapat sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat dan etnik yang terdapat dalam sesebuah negara. Dalam konteks pilihan raya di Malaysia, secara keseluruhannya berdasarkan dua belas pilihan raya yang telah diadakan secara konsisten, kemunculan Barisan Nasional sebagai parti yang dominan di kalangan rakyat tidak dapat dinafikan. Oleh sebab itu, Barisan Nasional menjadi hegemonik kerana telah di bentuk dalam pemikiran golongan massa gabungan idealisme pemerintah demokrasi acuan Malaysia dengan nilai dan norma politik yang bersifat feud. Pemerintahan Barisan Nasional selepas memperoleh kemerdekaan pada 1957 dalam konteks pengurusan negara sama ada dalam aspek ekonomi, politik, dan sosial, mempermosikan idealisme patronage democracy. Idea parti vanguard diserlahkan dalam konteks orientasi politik masyarakat. United Malays National Organisation (UMNO) sebagai contoh amat jelas mempraktikkan ide ini dalam usaha mendapatkan sokongan politik masyarakat melayu di Malaysia. UMNO memberi mesej politik kepada orang-orang melayu bahawa kesejahteraan, perlindungan hak melayu di Malaysia, serta pembangunan sosio-ekonomi bergantung kepada kesetiaan sokongan politik terhadap UMNO. Perkara yang sama turut dilakukan oleh parti-parti komponen BN yang lain seperti Malaysian Chinese Association (MCA), Malaysian Indian Association (MIC), parti GERAKAN, parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), dan parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) di Sarawak. Kesemuanya mempraktikan idealisme parti vanguard melalui hegemoni intelektual terhadap kelompok-kelompok politik di dalam usaha untuk meraih sokongan politik.  


6.0 Orientasi Pembangunan Ekonomi
Dengan bersandarkan kepada strategi kestabilan dan keharmonian kaum, pemerintahan BN di Malaysia khususnya selepas kejadian 13 Mei 1969 telah menggunakan dasar pembangunan ekonomi yang bertunjangkan kepada idealisme pemerintah berorientasikan pembangunan (developmentalis state) yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB). Selepas pelancaran DEB, peranan kerajaan dalam membangunkan semula masyarakat dari sudut ekonomi semakin terbukti. Penubuhan institusi-institusi seperti Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Pemasaran Pertanian (FAMA), dan Lembaga Pembangunan Industri Pekebun-Pekebun Kecil Getah Malaysia (RISDA) menggambarkan peranan pemerintah untuk meningkatkan kemajuan pembangunan ekonomi negara dan masyarakat. Semenjak Malaysia mengamalkan pendekatan berorientasikan pembangunan, pertumbuhan ekonomi, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan yang begitu baik dalam konteks pertumbuhan ekonomi dunia. Perkara secara tidak langsung memberi keyakinan rakyat terhadap golongan pemerintah dan secara halus terus mengekalkan staus quo menerusi sokongan kelas bawahan. Pendekatan berorientasikan pembangunan yang diamalkan oleh BN telah memberi impak timbal-balik terhadap perkembangan demokrasi dan orientasi budaya politik di kalangan masyarakat. Perkara ini telah memberi ruang kepada pemerintah untuk menanamkan bahawa hanya BN sahaja mampu mewujudkan kestabilan ekonomi-politik di Malaysia. Maka kesetiaan, sokongan dan undi daripada masyarakat dituntut oleh BN apabila tibanya pilihan raya bagi terus memerintah dan mengekalkan hegemoniknya.


 7.0 Pilihan raya umum 2008: hakisan hegemoni BN?
BN menang dengan bergaya pada pilihan raya umum ke-11 dengan mendapat kemenangan dan sokongan yang paling tinggi dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Namun pada pilihan raya umum yang ke-12 berlaku sejarah terburuk dalam politik BN apabila hanya membentuk kerajaan pusat dengan majotiti mudah (hilang majotiti dua pertiga). Selain itu, BN turut kehilangan negeri Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Kedah kepada Pakatan Rakyat (PR). Manakala negeri Kelantan yang telah didominasi oleh pemerintahan Parti Islam Semalaysia (PAS) turut gagal untuk ditawan oleh BN. Keputusan pilihan raya umum ke-12 jelas menunjukkan bahawa kehakisan hegemoni politik BN berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Para pengkaji politik melihat suasana ‘politik baru’ yang timbul pada pilihan raya umum ke-10 iaitu pada tahun 1999 telah muncul kembali pada tahun 2008. Bahkan gelombang politik baru yang melanda politik Malaysia pada tahun 2008 telah memberi implikasi yang besar terhadap pengaruh dah hegemoni BN yang sebelum ini dilihat sukar untuk digugat oleh parti pembangkang. Politik lama yang diamalkan oleh BN yang berkisar atas landasan perkauman, neofeudal dan kelas tidak lagi mendapat sokongan daripada sebahagian golongan massa yang cenderung untuk menafikan dua pertiga majoriti BN dalam piliha raya umum tahun 2008. kemunculan politik baru yang mula mengambil tempat semasa pilihan raya umum 1999 yang berlandaskan isu-isu sejagat, seperti kesamarataa, kerajaan yang telus, keadilan, dan berbagai lagi muncul kembali pada tahun 2008 dan membawa sesuatu istilah baru yang dipanggil sebagai ‘tsunami politik’. Pengundian tidak lagi semata-mata kerana faktor etnik tetapi berdasarkan isu yang dibawa oleh parti yang diwakili. Faktor kerjasama yang erat sesama parti-parti pembangkang juga menyebabkan kedudukan hegemoni BN mula terhakis.


  8.0 Kesimpulan
Secara umumnya pilihanraya di Malaysia memperlihatkan hegemoni BN sejak tahun 1957 sehingga 2004. Sehingga kini BN menguasai dan membentuk kerajaan pusat melalui setiap pilihanraya umum yang dijalankan. Dalam konteks pembangunan ekonomi, BN adalah parti yang hegemoni kedudukannya. Dominasi dan hegemoni yang ditunjukkan BN mengatasai parti-parti lain dalam setiap saingan pilihan raya yang diadakan. Namun hegemoni BN kini mula terhakis pada pilihanraya 2008 akibat kegagalan mengekalkan majortiti 2/3 malahan 4 negeri jatuh ke tangan Pembangkang serta gagal mentadbir Kelantan. Hal ini mungkin disebabkan wujud perasaan protes rakyat terhadap kepimpinan BN masa kini. Kegagalan BN mengekalkan hegemoninya pada pilihanraya 2008 kerana pelbagai faktor. Maka pilihan raya umum ke tiga belas menjadi penentu hidup dan mati UMNO/BN. Rakyat dalam sistem demokrasi menjadi hakim,menilai setiap gerak-geri pemerintah dan pembangkang.Golongan muda yang sebahagian besar menggunakan pilihan rasional dalam memilih pemimpim mula menilai dasar-dasar dan harapan yang diberikan oleh pemerintah dan pembangkang kepada rakyat. Kegagalan mempertahankan kedudukan ekonomi negara sehingga memberi kesan kepada rakyat telah menyebabkan rakyat mula menunjukkan rasa tidak puas hati. Oleh itu, pilihanraya adalah mekanisme terbaik bagi masyarakat untuk menyatakan ketidakpuasan tersebut sekaligus menghakis hegemoni BN yang selama ini kuat mendominasi kehidupan rakyat.


Pilihan raya ke-12=Menghakis hegemoni Umno/BN 
Pilihan raya ke 13=Terhakis Umno/BN

No comments: