02 April, 2012

Hapus PTPTN




KUALA LUMPUR, 2 April(harakah):

Jalan raya dan pilihan raya, kedua-duanya mesti jadi pilihan untuk menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"(Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri) Khaled Nordin suruh mahasiswa yang mahu menuntut pemansuhan PTPTN supaya menggunakan peti undi dan bukan demonstrasi.

"Sebenarnya semua jalan yang selaras dengan amalan demokrasi mesti digunakan untuk menuntut pemansuhan PTPTN, tidak kira (berdemonstrasi di) jalan raya atau pilihan raya," kata beliau.

Bagi Mohamad, jika mahasiswa berdemonstrasi di jalan raya, kerajaanlah yang menyebabkan tindakan itu dipilih oleh mereka.

"Kepada (Tan Sri) Tajudin Ramli, senang-senang kerajaan hapus kira hutang RM589 juta dan kepada keluarga (Ketua Wanita Umno, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) pula senang-senang kerajaan bagi pinjaman mudah RM250 juta.

"Itu kepada mereka berdua. Bolehkah rakyat percaya pemimpin Umno lain, keluarga serta kroni mereka sanggup tengok begitu sahaja Tajudin dan keluarga Shahrizat mendapat habuan lumayan?" kata beliau.

Mahasiswa, kata Mohamad, tentulah tidak berpuas hati apabila hutang Tajudin dilupuskan begitu sahaja sedangkan mereka diburu dengan keras dan kasar walaupun hutang mereka amat kecil berbanding hutang Tajudin.

Para pelajar tersebut juga tahu, keluarga Shahrizat mendapat pinjaman mudah sedangkan mereka disusahkan dengan pelbagai syarat dan perubahan berkali-kali cara pembayaran balik apabila meminjam dari PTPTN.

"Sebenarnya para pelajar tidak perlu meminjam dan PTPTN pun tak perlu diwujudkan kalau wang negara digunakan dengan betul dan bukan dikenduri-kendarakan kepada kroni.

"Sebagai contoh, jika sebahagian dari subsidi RM17 billion setahun kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP), sebahagian dari RM28 bilion setahun yang rugi akibat kelemahan pengurusan kerajaan seperti yang ditegur oleh laporan Ketua Audit Negara atau sebahagian dari RM10 bilion kerugian yang ditanggung oleh negara akibat rasuah seperti yang didedahkan oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) digunakan untuk menubuhkan dana bagi tujuan pendidikan tinggi kepada rakyat, tentu tidak berlaku kejadian menyedihkan para pelajar yang berhutang semata-mata kerana hendak belajar diburu dengan begitu begis dan kasar untuk memaksa mereka membayar hutang," katanya.

Kesemua itu, kata Mohamad, belum diambilkira lagi wang yang dibelanjakan untuk menaikkan imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaannya seperti bayaran kepada Apco Worldwide dan FBC Media (UK) misalnya.

Ketika memberikan reaksi kepada cadangan mahasiswa mengadakan demonstrasi untuk menuntut pemansuhan PTPTN, Khaled mempersoalkan tindakan hendak berdemonstrasi itu sedangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, jika terdapat parti yang mahu memansuhkan PTPTN dan pinjaman pelajaran, mahasiswa boleh memilih parti itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berjanji memansuhkan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti sekiranya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Ikrar itu dikongsi parti rakan PAS yang turut mahu menghapuskira pinjaman yang belum dibayar.

Dalam kenyataan mengenai demonstrasi itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mensasarkan 5,000 mahasiswa dan 'mangsa' hutang pinjaman PTPTN akan turun berhimpun menuntut pemansuhan pinjaman itu.

Perhimpunan itu akan diadakan pada 14 April ini di Dataran Merdeka bermula jam 2 petang.




No comments: